Thursday, August 12, 2010

terdapat juga golongan penagih dadah dan bukan Islam yang turut mengambil kesempatan mendapatkan hidangan percuma setiap hari di masjid - YEW + KWN2?!

Berbuka di masjid
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/08/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Tidak sempat pulang ke rumah antara faktor menyebabkan kebanyakan warga kota terpaksa berbuka puasa di masjid sekitar bandar raya yang menyediakan juadah seperti nasi, lauk-pauk dan bubur lambuk secara percuma.
Tinjauan Harian Metro di Masjid Jamek Kuala Lumpur mendapati orang ramai bukan saja terdiri daripada warga kota, malah warga asing turut membanjiri sekitar masjid seawal jam 6.30 petang bagi mendapatkan juadah berbuka sementara menunggu azan Maghrib berkumandang.


Bagi pekerja swasta, Nasyran Kadmin, 26, kerana enggan tersekat dalam kesesakan lalu lintas, dia memilih berbuka di masjid sekitar ibu kota lebih-lebih lagi jika terpaksa pulang bekerja lewat.


“Selama lebih tiga tahun bertugas di ibu kota, tiap kali menjelang Ramadan ada kalanya saya terpaksa berbuka puasa di masjid kerana tidak sempat pulang ke rumah di Serdang. Bukan tidak mahu membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, tapi ia terletak jauh dan sesak dengan orang ramai.


“Lagipun jika berbuka di masjid, saya boleh terus menunaikan solat Maghrib di sini dan kemudian baru pulang ke rumah. Sesekali berbuka puasa beramai-ramai seperti ini, seronok juga,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.


Berbeza pula dengan pelancong dari Bangladesh, Mohammad Samiul Hassan, 30, pengalaman pertama kali berbuka puasa di negara ini amat menyeronokkan kerana bukan saja dapat berjumpa kenalan baru, malah turut kagum melihat umat Islam pelbagai bangsa berkumpul bersama.


“Di negara saya, keadaannya amat berbeza kerana jika terdapat juadah berbuka puasa di masjid, keadaan akan menjadi terlalu sesak dan orang ramai terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan makanan.


“Berlainan di sini, semuanya dalam keadaan terkawal dan tidak nampak pula orang berebut-rebut mendapatkan makanan,” katanya yang akan pulang ke negaranya selepas seminggu berpuasa di sini.


Bagi kakitangan kerajaan, Sazali Zamani, 24, pengalamannya berbuka puasa di masjid adalah pertama kali dirasai sepanjang hidupnya.


“Kebetulan pula saya datang ke Kuala Lumpur kerana urusan peribadi dan tidak sempat pulang ke rumah di Tanjung Malim, jadi saya mengambil kesempatan berbuka puasa dan solat berjemaah di masjid ini.


“Tidak sangka pula walaupun terpaksa beratur panjang untuk mengambil makanan berbuka puasa, keseronokannya tetap terasa, malah saya sempat berkenalan dengan jemaah lain,” katanya. Sementara itu, jurucakap pentadbiran masjid berkenaan berkata, tahun ini masjid itu menyediakan 1,000 bungkus makanan dan bubur lambuk setiap hari sepanjang Ramadan yang disumbangkan Bank Muamalat dan individu perseorangan.

“Manakala selepas solat Tarawih, moreh turut diadakan dan ia disediakan oleh masjid ini sendiri. Sasaran pengagihan bungkusan makanan adalah kepada musafir, fakir miskin dan orang yang pulang bekerja,” katanya.


Bagaimanapun, terdapat juga golongan penagih dadah dan bukan Islam yang turut mengambil kesempatan mendapatkan hidangan percuma setiap hari di masjid terbabit.

No comments:

Post a Comment